RUNTUTAN

2.) RUNTUTAN








Runtutan bermaksud koheran. Webster dalam Tarigan menyatakan koheran adalah hubungan yang cucuk dan sesuai atau ketergantungan antara satu sama lain yang rapi, beranjak dari hubungan-hubungan alamiah bahagian-bahagian atau hal-hal satu sama lain, seperti bahagian-bahagian wacana atau argumen-argumen suatu rentetan penalaran. Sanat Md Nasir dalam Mohd Rashid et.al (2018), mendefinisikan runtutan sebagai susunan fikiran ayat secara logik atau kualiti kefahaman tentang sesuatu. Secara kesimpulanya, runtutan dapat difahami sebagai kaitan sesuatu ujaran secara logik bagi memberi kefahaman kepada pembaca.

            Menurut F.J Angelo dalam Tarigan, Koherensi atau runtutan terbahagi kepada penambahan, rentetan, kata ganti diri, pengulangan, sinonim, keseluruhan dan bahagian, kelas dan anggota, penekanan, perbandingan, pertentangan, hasil, contoh, paralel, lokasi, dan waktu. Perbincangan ini melibatkan beberapa cirii yang dinyatakan oleh tokoh-tokoh di atas.

a.) Aditif atau Penambahan
Aditif digunakan untuk memberi maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya (Tatabahasa Dewan, 2008). Terdapat pelbagai jenis aditif seperti dan, lalu, malahan, tambahan pula, di samping itu dan sebagainya. Sebagai contohnya:

Dia disukai ramai kerana selalu menolong orang kampung. Tambahan pula, dia seorang pemimpin yang adil. Dia juga seorang yang murah hati dan prihatin terhadap masalah penduduk Taman Desa Indah.

            Melalui petikan di atas, terdapat penggunaan aditif melalui perkataan tambahan pula dan kata hubung dan. Tambahan pula digunakan untuk menambah maklumat yang terkandung dalam ayat sebelumnya. Kata hubung dan pula digunakan untuk menambah maklumat sikap orang tersebut.

b.) Rentetan
Rentetan digunakan sebagai penanda bagi memperkatakan sesuatu secara berurutan. Selalunya rentetan digunakan bagi menjelaskan sesuatu proses. Sebagai contohnya:

Sebagai pagi selepas bangun tidur, aku akan mengemas katil. Kemudian aku akan pergi ke tandas untuk membersihkan diri. Selepas itu, aku melakukan tugasku sebagai umat Islam dengan menunaikan solat subuh. Setelah itu, aku akan bersarapan sebelum ke kelas. Akhir sekali, aku menunggu bas untuk ke kampus.

            Petikan di atas menunjukkan urutan perbuatan penulis sebelum pergi ke kelas. Penggunaan runtutan jenis rentetan ini akan memberikan lebih kefahaman kepada pembaca mengenai sesuatu maklumat yang diperkatakan. Rentetan sangat penting dalam pembinaan sesebuah runtutan.

c.)Pengulangan
Pengulangan sering digunakan sebagai penegasan sesuatu maklumat yang diperkatakan . Apabila sesuatu perkara diulang berkali-kali, pembaca atau pendengar boleh memahami dengan jelas tentang topik yang diperkatakan. Sebagai contohnya:

Ibu adalah orang yang paling berjasa dalam hidup seseorang insan. Hal ini disebabkan ibu adalah orang yang melahirkan kita. Ibu menyuapkan makanan kepada saya. Ibu adalah wanita yang menyusukan saya. Tambahan pula, ibu berjaga siang dan malam demi menjaga saya semasa sakit. Betapa besarnya jasa ibu kepada diri ini.

            Melalui petikan di atas, didapati perkataan ibu diulang sebanyak 6 kali. Tujuannya adalah menegaskan isi sesuatu cerita atau karya. Penulis mahupun pengujar menggunakan ibu beberapa kali bagi menegaskan tajuk ceritanya. Melalui perkataan yang diulang, pembaca akan lebih memahami isi cerita.
                                                               d.) Penekanan
Salah satu fungsi penekanan adalah meningkatkan kekoherensifan  wacana dalam sesuatu teks atau perkara yang diperkatakan. Penekanan ditandai dengan penggunaan  perkataan sesungguhnya, sungguh, memang, nampaknya dan bahawasanya. Kata penekanan merupakan bentuk penegasan bagi kata yang bergabung dengannya. Contohnya seperti di bawah.

A1
Sungguh nakal kucing itu.
A2
Bahawasanya pelajaran sejarah wajar diajarkan kepada pelajar-pelajar dan orang ramai.
A 3
Dia memang seorang yang kedekut.

            Melalui ayat di atas, kata penekan sungguh digunakan untuk menegaskan sikap kucing tersebut. A2 pula menggunakan kata penekan bahawa. Kata penekan bahawa digunakan untuk menegaskan kepentingan mata pelajaran sejarah. Kata penekan memang pula digunakan untuk menegaskan sikap kedekut watak dia dalam ayat. Sesungguhnya, sesuatu ayat tau ujaran perlu menggunakan kata penekan bagi menegaskan sesuatu topik yang diperkatakan. Hal ini seterusnya akan meningkatkan tujuan dan penerimaan dalam diri pembaca dan pendengar.

e.) Hubungan Keseluruhan dan Bahagian.
Seterusnya salah satu ciri runtutan adalah keseluruhan kemudian dipecahkan kepada bahagian-bahagian tertentu. Hubungan keseluruhan dan bahagian ini memerlukan penulis mahupun pengujar mengutarakan sesuatu perkara secara generalisasi kemudian diceritakan tentang bahagian-bahagian tertentu dalam perkara yang dibincangkan. Sebagai contohnya dalam petikan di bawah.

Ali membeli buku bahasa Melayu yang baru. Buku tersebut mengandungi tiga bab utama yang terdiri daripada tatabahasa , karangan serta rumusan. Setiap bab pula mempunyai beberapa subtopik yang disusun dalam perenggan-perenggan tertentu.

            Petikan di atas menggunakan beberapa perkataan yang menunjukkan hubungan keseluruhan kemudian dipecahkan kepada bahagian-bahagian tertentu. Perkataan tersebut boleh dilihat melalui penggunaan perkataan buku. Perkataan buku ini diterangkan mempunyai beberapa bab. Bab-bab tersebut dipecahkan kepada subtopik yang mengandungi beberapa perenggan. Petikan yang diterangkan seperti ini akan meningkatkan kefahaman pembaca terhadap teks atau perkara-perkara yang dibincangkan.
f.) Hubungan Hasil dan Kegagalan
Hubungan hasil dan kegagalan menerangkan keadaan sesuatu hasil yang akhirnya menemui kegagalan selepas sesuatu tindakan. Hubungan hasil dan kegagalan hanya dapat dikenal pasti melalui pembacaan atau pendengaran keseluruhan teks atau ujaran. Hubungan ini dapat dikenal pasti melalui perkataan tertentu sahaja seperti runtutan rentetan. Sebagai contohnya, lihat petikan do bawah:

A1
Rumah itu sangat cantik dan direka oleh arkitek terkenal di Malaysia.
A2
Sayangnya, rumah itu runtuh apabila berlaku ribut taufan

            Petikan di atas menunjukkan hubungan hasil dan kegagalan. A1 menunjukkan hasil sesuatu perkara. Namun begitu, hasil tersebut mengalami kegagalan dalam A2. Hubungan hasil dan kegagalan penting dalam meningkatkan kefahaman pembaca terhadap perkara yang diperkatakan.

g.) Hubungan Perbandingan
Hubungan perbandingan dapat dilihat melalui perbandingan dua perkara, keadaan atau situasi. Perbandingan akan meningkatkan koherensi sesebuah teks. Peningkatan koherensi akan meningkatkan peningkatan tujuan dan penerimaan sesuatu teks. Sebagai contohnya di bawah:

Penghuni rumah sewa Taman Desa ini mempunyai sifat pelbagai ragam. Wanita sangat rajin berkebun manakala lelaki pula lebih suka duduk melepak di kedai-kedai kopi. Kebanyakan wanita di Taman Desa Indah suka menemani anak-anak di aman permainan. Lelaki pula lebih suka duduk di rumah.
Walaupun penghuni rumah sewa Taman Desa mempunyai sikap yang pelbagai ragam tetapi mereka masih hidup dengan harmoni.

            Petikan di atas menunjukkan perbandingan antara penghuni lelaki dan wanita di Taman Desa. Kata hubung perbandingan manakala digunakan untuk membandingkan dua ayat yang berbeza. Perenggan seterusnya turut menunjukkan perbandingan antara peringkat pertama dan kedua. Kesimpulannya perbandingan sesuatu perkara dapat dilihat dalam ayat yang sama ayat dan perenggan yang berlainan. Perbandingan dapat dikenal pasti melalui penggunaan manakala, berbandingan dan berbeza. Selain perbandingan dapat dilihat melalui keseluruhan teks.

h.) Hubungan Ibarat
Hubungan ibarat dapat dilihat melalui penggunaan peribahasa, simpulan bahasa dan bidalan. Penggunaan peribahasa penting bagi memberi kefahaman yang utuh kepada pembaca mengenai perkara yang diperkatakan. Perkara tersebut menjadi sangat jelas dengan menggambarkan melalui ibarat. Sebagai contohnya di bawah:

A1
Matahari itu bagai bola api yang memancarkan cahaya kepanasan.
A2
Dia sangat cantik seperti bulan dipagari bintang.
A3
Ali ke sekolah dengan berkaki ayam.

            Melalui ayat di atas, hubungan ibarat dapat dikenal pasti melalui penggunaan bagai dan seperti. Hubungan ibarat turut dilihat melalui A3. Walaupun ayat tersebut tidak menggunakan perkataan yang menggambarkan ibarat, ayat tersebut masih jelas menggambarkannya keadaan Ali yang tidak berkasut seperti keadaan ayam yang tidak menggunakan kasut. Penggunaan ibarat akan meningkatkan lagi pemahaman pembaca terhadap sesuatu tajuk kerana digambarkan dengan jelas.

i.)                  Hubungan Tujuan
Hubungan tujuan amat penting digunakan untuk menggambarkan sesuatu tindakan. Sesuatu tujuan penting dalam meningkatkan kefahaman pembaca. sebagai contohnya dalam ayat di bawah.

Mia bertungkus-lumus menyiapkan kerja kursus wacana. Tidak kira siang atau malam, dia melakukan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah. dia berharap dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan tepat pada waktunya.

Petikan tersebut menunjukkan hubungan tujuan. Hubungan tujuan ini dapat dikenal pasti melalui perkataan sahaja tetapi perlu difahami melalui keseluruhan konteks ayat. Ayat pertama dalam petikan menunjukkan perbuatan Mia. Pada akhir perenggan pula dinyatakan tujuan Mia melakukan tindakan sedemikian.

Menurut Sanat Md. Nasir dalam Mohd Rashid Md. Idris, terdapat beberapa tahap runtutan. Pertama adalah tahap tujuan. Tahap tujuan melihat ke dalam pemahaman penulis atau penutur tentang sesuatu teks yang ditulis. Tahap kedua pula melihat sejauh mana tahap penerimaan pendengar atau pembaca tentang sesuatu teks. Tahap ketiga pula melihat ketepatan tanggapan pembaca terhadap sesuatu maklumat dalam teks. Tahap yang terakhir melihat kerelevanan sesuatu teks berdasarkan situasi ujaran. Tahap-tahap runtutan hanya dapat dicapai melalui penggunaan perkataan atau kebijaksanaan pengarang dalam mengaitkan sesuatu perkara melalui penggunaan runtutan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan