TAUTAN

1.) TAUTAN 




Haliday dan Hassan dalam Mohd Rashid et.al (2018), mendefinisikan tautan sebagai ciri-ciri linguistik yang membantu menghubungkan satu tatutan ayat sehingga melahirkan suatu teks yang padu atau memperlihatkan tautannya. Tatabahasa Dewan Edisi ketiga (2008) pula menyatakan tautan sebagai ciri wacana yang membawa keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Gutwinsky dalam Henry Tarigan menambah maksud tautan sebagai hubungan antara kalimat di dalam sebuah wacana baik dalam tingkat gramatikal mahupun dalam tingkat leksikal tertentu. Rumusannya, tatutan bermaksud hubungan antara ayat yang saling berkaitan dalam tingkat ayat atau ujaran gramatis serta tingkat leksikal tertentu.

            Terdapat beberapa pendapat tokoh yang membahagikan ciri-ciri runtutan. Beugrande dan Dressler dalam Mohd Rashid et.al (2018) membahagikan runtutan kepada enam, iaitu perulangan, perulangan sebahagian, paraleslisme, para frasa, bentuk pro dan elipsis. Haliday dan Hassan dalam Henry Guntur Tarigan pula membahagikan tautan kepada pronomina, subsitusi, elipsis, konjungsi dan leksikal. Melalui pendapat tokoh di atas, ciri-ciri runtutan boleh digolongkan kepada 3 golongan iaitu semantik, leksikal dan sintaksis. Berikut adalah tautan leksikal.


i.)                  Tautan Leksikal
Tautan Leksikal terbahagi kepada lima bahagian iaitu repitisi, sinonim, hiponim, kolokasi, dan ekuivalensi.
a.) Repitisi
Repitisi atau perulangan adalah kata yang sering kali diulang yang terdiri daripada “kata isi” (content word). perulangan dilakukan terhadap perkataan-perkataan yang penting. Perkataan penting ini boleh dikenali dengan melihat fungsinya sebagai unsur yang tidak boleh ditinggalkan. Sekiranya ditinggalkan, ayat tersebut menjadi tidak bermakna. Terdapat beberapa jenis pengulangan berdasarkan model tautan pindaan Sanat Mad Nasir. Unsur pengulangan kata boleh dilihat melalui ayat di bawah:

Pemuda itu telah berjaya menyelamatkan seorang puteri daripada lemas. Pemuda itu akhirnya mendapat balasan setimpal apabila diberi ganjaran lumayan.
           
            Melalui petikan di atas, terdapat pengulangan perkataan pemuda sebanyak dua kali. Apabila subjek pemuda dalam ayat 2 digugurkan, ayat tersebut menjadi tidak gramatis kerana ketiadaan subjek.
            Satu lagi jenis pengulangan yang boleh dilihat dalam sesebuah karya adalah pengulangan kata dasar sama. Sebagai contohnya :
A1
Lelaki tersebut seorang yang rajin. Setiap hari, dia akan mencuci keretanya. Cucian keretanya tidak pernah selesai selagi tidak mencapai tempoh masa 20 minit.

            Petikan di atas menunjukkan pengulangan kata dasar yang sama tetapi berlainan imbuhan. Sebagai contohnya pengulangan kata dasar cuci. Ayat kedua menggunakan perkataan mencuci sedangkan yang ketiga menggunakan perkataan cucian. Walaupun berbeza imbuhan, perkataan tersebut masih mempunyai kata dasar yang sama.
            Pengulangan seterusnya adalah pengulangan frasa nama. Pengulangan jenis ini melihat frasa nama yang diulang berkali-kali dalam sesuatu petikan. Contohnya:
Wanita itu seorang yang rajin. Setiap hari wanita itu membersihkan rumahnya.

            Petikan di atas mengandungi pengulangan frasa nama wanita itu sebanyak dua kali.

b.) Sinonim
Sinonim bermaksud perkataan yang sama erti. Pengulangan dilakukan dengan mengulang perkataan yang sama erti bagi mengelakkan kebosanan. Contohnya:

A1
A2
Hari ini, ibu pergi ke pasar membeli lauk tetapi keesokan harinya emak tidak dapat ke pasar

            Ayat di atas menunjukkan pengulangan perkataan yang sama tetapi berlainan ejaan, iaitu perkataan ibu dan emak. Sebenarnya ayat di atas terdiri daripada dua ayat tunggal yang di tandai dengan A1 dan A2 namun telah digabungkan dalam satu ayat menggunakan kata hubung tetapi. Apabila perkataan emak dalam A2 digugurkan, ayat tersebut menjadi tidak gramatis dan sukar difahami. Hal ini disebabkan ayat menjadi tergantung tanpa subjek.

c.) Hiponim
Hiponim merupakan pengkelasan sesuatu perkara. Sebagai contohnya, perkataan pelbagai negeri. Frasa pelbagai negeri kemudian diikuti oleh perkataan Johor, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak. Maksudnya hiponim menyebut sesuatu perkara secara generalisasi terlebih dahulu kemudia baharulah diikuti contoh-contoh. Sebagai contohnya;
Malaysia terdiri daripada pelbagai negeri seperti Johor, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

d.) Antonim
Antonim pula adalah sejenis tautan yang menggunakan kata yang berlawanan maksud dalam ayat atau perenggan yang sama. Hal ini boleh dilihat melalui contoh ayat di bawah:
Pada zaman sekarang tidak kira lelaki mahupun perempuan mempunyai hak yang sama rata untuk mendapatkan pendidikan.

            Petikan di atas menunjukkan penggunaan perkataan yang berlainan kata. Sebagai contohnya seperti perkataan lelaki dan perempuan.

e.) Kolokasi
Kolokasi pula adalah sejenis tautan yang menunjukkan penyenaraian contoh-contoh kemudian berlaku generalisasi. Sebagai contohnya:
Majalah, surat khabar, televisyen serta radio adalah sejenis media massa.

            Penggolongan contoh ini adalah berdasarkan fungsinya yang sama iaitu menyebarkan maklumat. Kolokasi penting dalam memberi kefahaman kepada pembaca.

f.) Ekuivalensi
Ekuivalensi pula dilihat melalui perkataan yang mempunyai kata dasar yang sama seperti perkataan perjuangan dan memperjuangkan. sebagai contohnya:
Ahmad seorang tentera. Semasa hidup, dia merupakan pejuang yang berani menentang penjajah negara. Selepas kematiannya, perjuangan beliau dalam memperjuangkan negara menjadi bualan hangat penduduk kampung.



ii.)                Tautan Gramatikal, Sintaksis atau Semantik
Kata ganti atau pronomina merupakan salah satu ciri tautan jenis gramatikal. Kata ganti terdiri daripada dua, iaitu kata ganti diri nama khas dan kata ganti diri untuk kata nama am. Kata ganti diri nama khas boleh terdiri daripada aku, mereke, kamu, dia dan nya. sebagai contohnya:

Aku, Lila, Miki dan Dayang menaiki bas ke pekan. Semasa dalam perjalanan, kami terlihat satu kemalangan ngeri antara bas dan lori. Tiba-tiba Miki menjerit ketakutan kerana dia berasa takut melihat kejadian itu. Sebagai kawan, kami cuba menenangkan Miki. Akhirnya, kami terpaksa membatalkan rancangan dan balik ke rumah.

            Petikan di atas menunjukkan pelbagai contoh kata ganti diri nama khas seperti aku, kami dan dia. Dalam petikan di atas, kata ganti diri nama aku mewakili kata ganti diri bagi nama Miki, dan kami pula mewakili watak aku, Lila, Miki dan Dayang.

            Seterusnya kata ganti nama am pula boleh dilihat melalui perkataan itu, ini, sana, situ dan nya. Sebagai contohnya dalam petikan di bawah:

Mior seorang budak lelaki yang gemuk. Untuk menguruskan badan dia sering bersenam di taman. Semasa di sana, dia terjumpa seekor anak kucing. Pada mulanya, kucing itu takut untuk mendekati Mior. Selepas beberapa ketika, kucing itu, menjadi manja dan mengikuti Mior berlari keliling taman.

            Petikan di atas menunjukkan penggunaan kata ganti nama am seperti sana, nya, dan itu. Sana mewakili kata ganti bagi taman. Kata ganti nya pula mewakili pertemuan mula antara Mior dan kucing dan kata ganti itu mewakili kucing.

            Menurut Kridalaksana, sibtitusi adalah penggantian unsur bahasa oleh unsur lain dalam satuan yang lebih besar untuk memperoleh unsur-unsur pembeza bagi menjelaskan suatu sturktur tersebut (Hendry Tarigan : 100). Ciri ini mementingkan kata dan makna. Menurut Tarigan, substitusi bersifat norminal, verbal, klausal atau campuran. Misalnya perkataan sama, seperti itu, sedemikian rupa dan demikian.

Saya dan pakcik pergi ke warung kopi. Saya memesan teh. Begitu juga pak cik. Rupa-rupanya keinginan kami sama.

            Contoh di atas menunjukkan penggunaan subsitusi melalui perkataan begitu juga serta sama. Begitu juga digunakan untuk menggantikan perbuatan pak cik. Bagi mengelakkan pengulangan frasa memesan teh, maka perkataan begitu juga digunakan untuk menggantikan frasa tersebut. Perkataan sama pula mewakili keinginan yang sama antara watak utama dan pak cik.

            Pengguguran atau elipsis menurut Beugrande dan Dressler dalam Mohd Rashid et.al (2018), adalah salag satu pengulangan struktur linguistik dan unsur yang sama tetapi menghilangkan sebahagian daripada ujarannya. Kridalaksana dan Tarigan mendefinisikan elipsis sebagai peniadaan kata atau satuan lain yang wujud asalnya dapat diramalkan dari konteks bahasa tau konteks luar. Elipsis boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:

i.)Elipsis Kata Nama
Elipsis ini selalunya menggugurkan kata nama. Sebagai contohnya:
Suraya dan Dayang membeli-belah di Mid Valley. Miki dan Nini pula sebaliknya.

            Contoh di atas menunjukkan pengguguran kata nama Suraya dan Dayang dalam ayat kedua. Sebenarnya selepas perkataan sebaliknya wujud perkataan Suraya dan Dayang.

ii.) Elipsis Kata Kerja
Elipsis kata kerja selalunya akan menggugurkan kata kerja. Contohnya:
Mahdi dan Johan memancing ikan di sungai. Mereka telah meminjam dua joran pancing daripada Ah Seng. Pada minggu lalu saya telah meminjam satu.

            Petikan di atas menunjukkan pengguguran kata kerja dalam ayat kedua. Perkataan yang digugurkan adalah perbuatan meminjam joran. Oleh sebab meminjam adalah kata kerja yang menjadi ini ayat, perkataan tersebut tidak dapat digugurkan kerana akan menyebabkan ketidakgramatisan ayat. Perkataan yang digugurkan adalah joran yang mewakili perbuatan subjek.

iii.) Elipsis Klausa
Pengguguran ini berlaku apabila menggugurkan klausa. Contohnya:
Awak semua sudah makan nasi ayam dekat dapur? Belum- bukan? Kalau belum- silalah.

            Petikan di atas menunjukkan pengguguran klausal pada tanda sempang. Tanda sempang pertama dan kedua sepatutnya diisi oleh klausal makan nasi ayam tetapi telah digugurkan. Pengguguran ini perlu memenuhi syarat. Tanpa klausal, ayat masih boleh difahami oleh pembaca. Jika tidak difahami ayat tersebut tidak menepati ciri tautan klausal.

            Konjungsi atau penghubung bermaksud kata yang digunakan untuk menghubung kata dengan kata, frasa dengan frasa, klausa dengan klausa, kalimat dengan kalimat serta perenggan dengan perenggan. Kridalaksana mengelompokkan penghubung kepada konjungsi adversatif, kausal, koordinatif, korelatif, subordinatif dan temporal. Sanat Md Nasir pula membahagikan konjungsi kepada hubungan berlawanan, hubungan keluarga serta hubungan sebbab dan akibat. Perbincangan ini melibatkan beberapa aspek konjungsi sahaja berdasarkan pendapat-pendapat tokoh di atas.

            Pertama adalah hubungan kekeluargaan. Hubungan kekeluargaan menggunakan kata yang mempunyai hubungan superordinat dan ordinat. Maksudnya hubungan entiti menyeluruh dan hubungan sebahagian atau hubungan unsur sebahagian dengan entiti menyeluruh. Sebagai sontohnya:

Sekolah merupakan tempat pelajar-pelajar menimba ilmu. Pihak sekolah khasnya guru, pengetua, dan kakitangan sokongan perlu menyediakan iklim pembelajaran kondusif bagi membolehkan pelajar menimba ilmu dengan selesa.

            Melalui ayat di atas, sekolah berfungsi sebagai superordinat manakala guru, pengetua dan kakitangan sokongan bertindak sebagai ordinat. Apabila membincangkan isu-isu tentang sekolah, perkataan seperti guru, pengetua dan kakitangan sokongan turut wujud.

            Hubungan seterusnya adalah hubungan masa. Hubungan masa menggunakan penanda-penanda wacana yang berkaitan dengan masa. Contohnya:
Sebelum tidut, kita digalakkan untuk mencuci kaki manakal selepas bangun tidur kita digalakkan untuk meminum air suam.

            Ayat di atas menunjukkan penggunaan hubungan temporal yang diwakili oleh perkataan sebelum dan selepas. Perkataan sebelum tidur mewakili masa bagi perbuatan yang dilakukan sebelum tidur sedangkan selepas bangun tidur pula mewakili perbuatan selepas bangun daripada tidur.

            Seterusnya adalah hubungan berlawanan. Hubungan berlawanan boleh dilihat melalui entiti atau keadaan yang berlawanan. Hal ini boleh difahami melalui ayat di bawah:

Artis Indonesia mendapat tempat di hati peminat tanah air berbanding artis tempatan yang kurang mendapat sambutan. Hal ini disebabkan nyanyian artis Indonesia lebih merdu dan puitis berbanding nyanyian artis tempatan.

            Petikan di atas menunjukkan pertentangan antara entiti atau keadaan artis Indonesia serta maklumat artis tempatan. Pertentangan ini akan memberikan kefahaman yang lebih tentang sesuatu keadaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan